Beliau berkata, pasukan dikenali sebagai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) itu akan mengambil alih kesemua kes berkaitan isu berkenaan di seluruh negara, berkuat kuasa semalam.

“Setiap laporan berkaitan isu ini akan dilaporkan terus kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan saya. Kami sendiri akan pantau setiap kes.

 

“Bukit Aman akan rujuk terus kepada Timbalan Pendakwa Raya dan tindakan segera ini dapat dilihat dalam pendakwaan seorang lelaki, semalam,” tegas beliau.

Beliau berkata de­mi­­kian dalam sidang akh­bar selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada seramai 300 anggota dan pegawai polis di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis Kedah, Datuk Abd. Rahim Jaafar.

Menurut Noor Rashid, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkembangan semasa iaitu tindak balas pihak tertentu selepas berlakunya penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi beraja.

“PDRM bimbang jika isu ini tidak diambil tindakan segera, wujud ketegangan kaum dan tidak mustahil akan menimbulkan sesuatu yang buruk.

“Polis juga merayu ma­sya­rakat agar sensitif terhadap isu-isu ini (agama, kaum dan institusi beraja) dan tidak hanya menyerahkan kepada PDRM sahaja untuk menjaga keamanan negara dan keharmonian rak­yat,” katanya.

Tambah beliau, pada masa sekarang terdapat kira-kira 10 kes melibatkan isu penghinaan agama, kaum dan institusi beraja sejak awal tahun ini yang sedang dipantau USJT.