Beliau berkata, debat tersebut dilihat sebagai perbincangan antara ahli keluarga UMNO yang sekali gus mempamerkan UMNO baharu dan bukan untuk menyerang antara satu sama lain.

“Saya mengambil kira semua pandangan dan nasihat termasuk daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, malah saya tidak melihat debat ini sebagai tempat untuk mendedahkan kelemahan dan perkara dalaman parti.

“Pada saya, ini (debat) adalah tempat untuk membincangkan masa depan dan hala tuju UMNO serta peranca­ngan kita apabila sudah menjadi pembangkang, siapa yang mempunyai perancangan terbaik untuk membawa parti ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Perasmian mesyuarat di­sempurnakan Mohamad yang juga Ketua UMNO bahagian itu dan turut dihadiri Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Dr. Awaluddin Said serta 1,500 perwakilan.

Mengulas lanjut, Khairy ber­kata, dua calon Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Tengku Raza­leigh Hamzah juga perlu bersikap positif dalam perdebatan itu nanti.

“Kalau debat itu dapat dijalankan dengan semangat positif, saya rasa tiada sebarang masalah, malah saya faham apa yang dinasihatkan oleh Tok Mat (Mohamad).

“Ini bukan debat antara parti yang berlawan dalam pilihan raya lalu tetapi lebih kepada untuk rakyat menilai ketiga-tiga calon yang mempunyai idea-idea tertentu. Kalau kita dapat meyakinkan mereka melalui perbincangan tersebut, saya rasa itu adalah perkara positif,” katanya.

Baru-baru ini Tengku Razaleigh dan Khairy telah bersetuju berdebat pada 29 Jun dan Ahmad Zahid semalam menyatakan kesediaan untuk turut serta dengan bersiaran secara langsung dari Bagan Datuk, Perak pada hari ber­kenaan.