Guang Eng berkata, lawatan itu membabitkan tajaan sebanyak RM69,763 bagi lawatan pada 12 hingga 17 Jun 2012, RM95,040 untuk lawatan pada 10 hingga 14 Jun 2013 dan RM128,400 bagi lawatan pada 1 hingga Mei 2014.

"Lawatan pada 12 hingga 17 Jun 2012 berjumlah RM69,763 diluluskan pada 27 Mac 2012, 10 hingga 14 Jun 2013 berjumlah RM95,040 diluluskan pada 20 Mac 2013, dan lawatan pada 1 hingga 6 Mei 2014 berjumlah RM128,400 diluluskan pada 11 Februari 2014.

"Ini jelas membuktikan kesemua lawatan diluluskan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Najib Tun Razak masih memegang jawatan selaku Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng menegaskan, beliau juga tidak tahu langsung tentang sumbangan dan tajaan lawatan kerja terbaharu membabitkan pegawai kanan PDRM yang diberikan oleh Lembaga Totalisator Malaysia kerana ia diputuskan oleh Lembaga Pengarah badan tersebut.

"Lembaga Pengarah Lembaga Totalisator Malaysia telah meluluskan permohonan lawatan kerja tersebut pada 23 November 2017 dengan jumlah RM184,648 iaitu sebelum saya dilantik menjadi Menteri Kewangan," katanya.-UTUSAN ONLINE