Demikian amaran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sekiranya mendapat adu­an daripada orang ramai supaya menambah bilangan tong sampah di beberapa kawasan.

Jelas Zuraida, langkah itu bagi membolehkan masyarakat membudayakan amalan mencari tong sampah dan bukannya tong sampah yang mencari orang.

“Saya memang minta PBT-PBT jangan manjakan rakyat Malaysia yang minta tambahan tong sampah kepada mereka dengan alasan hendak membuang sampah tapi tiada tong.

“Tidak, mereka kena belajar simpan dan bawa sampah, buang apabila jumpa tong sampah, biar orang ramai cari tong sampah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program 3R On Wheels Alam Flora dan Kad Mesra Pe­tronas, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Tambah Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, bilangan tong sampah yang disediakan di negara ini seperti di kawasan perumahan, taman dan tempat awam sudah mencukupi.

Jelas beliau, malangnya tabiat membuang sampah dalam tong sampah masih belum menjadi ‘darah daging’ 60 peratus rakyat negara ini.

Katanya, lebih sebahagian da­ripada 32.4 juta rakyat ini juga tidak mengetahui cara menguruskan sampah masing-masing.

“Di negara maju sampah peribadi mereka diuruskan dengan baik, tiada tong sampah letak dahulu dalam poket atau beg tangan,” katanya.

Sementara itu, Zuraida juga mahu masyarakat mengamalkan budaya baharu iaitu berani untuk belajar menegur individu yang membuang sampah merata-rata.

“Kita hendak budaya berani tegur-menegur ini supaya bebas daripada sampah-sarap yang berselerak seterusnya mencapai hajat Malaysia menjadi negara bersih,” katanya.