Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, pembayaran bantuan yang diperkenalkan sejak 2012 itu dibuat secara tiga kali ansuran dengan peruntukan dianggarkan RM6.3 bilion.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan BR1M di Pekan, dekat sini esok. Sehari selepas itu, para penerima boleh memeriksa bayaran yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Bahtera 2018 (Edisi Timur) bertemakan Bumiprenerus of Tomorrow di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Program yang menawarkan lebih banyak peluang dan insentif bagi usahawan bumiputera zon Timur untuk mempelajari selok-belok serta mengembangkan perniagaan itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Yang hadir sama Se­tiausaha Kerajaan Ne­geri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Dalam pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri berkata, kira-kira tujuh juta pe­nerima BR1M akan terus menikmati pemberian kerajaan de­ngan kadar maksimum sehingga RM1,200 pada tahun ini.

Berhubung dakwaan kononnya pemberian BR1M dilihat sebagai taktik dalam politik, Mohd. Irwan Serigar menegaskan, pengagihan bantuan berkenaan adalah untuk membantu mengurangkan beban kos sara rakyat termasuk dalam menyediakan barang keperluan harian seperti beras.

Kata beliau, bantuan seumpama itu bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia malah negara-negara lain seperti Arab Saudi pun mahu memperkenalkan konsep sama.

“Di samping BR1M, para penerima juga diberi latihan dan sebagainya. Kerajaan juga sedang mengkaji bagaimana bo­leh memperbaiki pemberian bantuan ini supaya lebih bersasar dan penerima suatu hari nanti dapat menggunakan BR1M untuk latihan serta lain-lain bagi meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan ko­nonnya pemberian BR1M bukan langkah yang tepat dari segi keberkesanan ekonomi negara, sebaliknya ia memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhannya.

“Penerima BR1M dalam kalangan golongan sasar menggunakan bantuan ini untuk berbelanja, maka memberi kesan berganda kepada ekonomi. Bila berbelanja, ekonomi bergerak pantas, sebab itu pertumbuhan negara akan meningkat,” katanya.