Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata, langkah itu sebagai persediaan awal untuk berdepan sebarang kemungkinan jika berlaku kebakaran.

Menurutnya, beliau percaya kewujudan pasukan itu mampu memberikan bantuan awal untuk mengawal kebakaran sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba untuk tindakan selanjutnya.

“Kejadian kebakaran yang berlaku sebelum ini wajar dijadikan sebagai iktibar oleh pihak pentadbiran pondok kerana ia melibatkan kerugian harta benda.

“Jadi sudah tiba masanya, pasukan ini diwujudkan sebagai persediaan berdepan kecemasan terutama ketika berlakunya kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Kaseh OKB bagi meraikan sukarelawan yang membantu memulihkan semula asrama Mahaad Tahfiz Al-Ismailiah (Matais) yang musnah terbakar hujung bulan lalu, di sini malam semalam.

Sheikh Ahmad Dasuki memberitahu, kewujudan pasukan itu juga dilihat tepat untuk memberikan pendedahan awal tentang aspek pencegahan kebakaran serta langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya kejadian sedemikian berlaku.

Katanya, ini penting bagi mengelakkan para pelajar tidak panik untuk berdepan situasi tersebut seterusnya mampu mengambil langkah awal untuk memadamkan kebakaran.

“Pasukan bomba sukarela ini juga secara tidak langsung mampu membentuk sahsiah diri pelajar menerusi latihan kawad dan sebagainya.

“Saya juga berharap pihak pengurusan tahfiz atau pondok tidak lokek untuk menyediakan peruntukan bagi membeli alat pemadam kebakaran sebagai persediaan berdepan kebakaran,” ujarnya.