Wan Mohd. Nor Ibrahim

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, jabatan tersebut ketika ini dalam proses untuk menawarkan tender bagi pembekalan dua unit helikopter yang dianggarkan seberat lapan tan itu.

Kata beliau, pihaknya akan menawarkan tender berkenaan dalam masa terdekat dan kemungkinan akan mengambil masa 24 bulan untuk penghantaran.

“Kalau pertengahan tahun ini kita dapat tender, mungkin 2016 boleh dapat.

“Kita lebih memerlukan yang besar sebab kita akan menjalankan operasi yang mendepani banjir se­perti tempoh hari, cuaca buruk, dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan National Aerospace Defence Industries (NADI), di sini hari ini.

Kontrak berkenaan yang ditandatangani sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabansa Langkawi (LIMA) 2015 itu melibatkan penyelenggaraan tujuh unit helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat oleh NADI selama tiga tahun dengan nilai sebanyak RM102 juta.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Nor menjelaskan, Jabatan Bomba dan Penyelamat memerlukan helikopter jenis yang besar agar dapat mengangkut lebih ramai anggota dan kuantiti barangan.