Sehubungan itu, sejak tahun lepas lagi sudah ada cadangan daripada beberapa pihak supaya perbicaraan itu disiarkan secara langsung sama ada melalui televisyen atau secara dalam talian.

Seperti sepucuk surat kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang tersebar baru-baru ini, ada pihak berpendapat rakyat berhak tahu apa yang berlaku dalam perbicaraan itu memandangkan ia melibatkan kes salah guna dana awam.

Penulis surat itu, Osman Abu Bakar berkata, orang ramai tidak boleh hanya bergantung kepada laporan media semata-mata kerana dakwanya, media tidak melaporkan kes itu secara telus.

“Kebanyakan agensi media tempatan dan luar negara tidak melaporkan perkemba­ngan kes tersebut secara jujur dan telus yang mana banyak laporan media telah disensasikan dan mempunyai sifat spekulatif,” katanya dalam surat itu.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta yang dihadapi Najib.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

Dalam pada itu, dalam surat yang dihantar pada 21 Februari lalu kepada Richard, Osman turut menekankan kepentingan melibatkan orang ramai dalam perbicaraan itu melalui siaran secara langsung kerana katanya, ia bertepatan dengan konsep kedaulatan undang-undang yang sering dilaungkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Perkara teras dalam pertuduhan terhadap Najib merupakan dana awam yang didakwa telah diselewengkan. Oleh kerana sumber dana awam tersebut didakwa telah diambil daripada pendapatan negara yang datangnya daripada rakyat Malaysia, pihak kami berpendapat bahawa rakyat Malaysia sendiri mempunyai hak dan kepentingan untuk mengikuti perbicaraan kes tersebut secara langsung.

“Pihak kami berpendapat bahawa dengan adanya liputan perbicaraan tersebut yang dapat diikuti oleh rakyat Malaysia, segala proses undang-undang yang dibuat semasa perbicaraan kes tersebut dapat dihargai dan diamati oleh rakyat Malaysia,” katanya.