Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek-projek berskala kecil itu perlu diteruskan kerana rakyat menunggu dan mengharapkannya sejak sekian lama seperti jalan kampung, pembaikan surau dan masjid atau jalan-jalan antara kampung.

Semua projek itu katanya, banyak membantu kepada perhubungan dan pembangunan kampung di luar bandar.

“Dalam pengetahuan saya sebagai Bekas Menteri, proses tender berlaku dengan teliti kerana jawatankuasa tender terdiri dari pegawai kerajaan seperti Ketua Setiausaha atau Timbalan Ketua Setiausaha, Jabatan Kerjaraya, pegawai dari Kementerian Kewangan dan wakil dari kementerian yang berkepentingan tanpa campurtangan politik.

“Walaubagaimana pun jika kerajaan hari ini menyatakan bahawa pemilihan kontraktor atau syarikat-syarikat ini melalui politik maka Kerajaan PH boleh saja mengkaji semula tetapi bukan dengan membatalkan projek yang akhirnya menjejaskan rakyat dan usahawan,” katanya melalui catatan di blognya.

Katanya, jika projek-projek Mega atau ratusan juta kos dibatalkan itu tidak ada halangan, tetapi ini melibatkan projek-projek untuk rakyat dan orang kampung luar bandar.

“Projek-projek ini berskala kecil dan menjadi keperluan untuk meneruskan projek ini bila rakyat menunggu dan mengharapkannya setelah sekian lama.

“Saya melihat kesannya kepada rakyat dan juga usahawan kecil seperti pemilik lesen kelas F. Ini merupakan usahawan kecil yang harus kerajaan bantu.

“Ini kerana mengikut edaran Kementerian Kewangan bahawa sesetengah projek yang telah berjalan tetapi di bawah 15 peratus kemajuan juga akan dibatalkan. Ini bakal memberikan kesan kepada usahawan tersebut dan yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga amat kesal apabila mendapat tahu projek seperti pembinaan masjid juga dibatalkan dan dihentikan.

“Pembinaan masjid merupakan keperluan kepada penduduk setempat yang sekian lama menunggu untuk ada sebuah masjid dalam kawasan mereka dan tiba-tiba dibatalkan. Apakah Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) sedikit pun tidak rasa sensitif terhadap orang Melayu dan Islam ini apabila pembinaan masjid mereka dibatalkan oleh kerajaan yang mereka pilih sebelum ini?

“Pesanan saya ialah supaya Kerajaan PH tidak terlalu bermain politik dalam konteks keperluan pembangunan yang melibatkan rakyat dan jangan hanya melihat sudut politik kepartian yang akhirnya boleh merugikan banyak pihak.

“Rakyat luar bandar menunggu dan menanti walau sebuah jalan kampung, air bersih dan pembangunan lain yang dapat mereka rasa nikmat dari sebuah negara yang makmur tanpa perlu dipolitikkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE