MOHAMAD NORDIN IBRAHIM
MOHAMAD NORDIN IBRAHIM 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, sekiranya kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau dipenjarakan sehingga 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Katanya, kedua-dua hukuman itu berpandukan undang-undang Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

“Peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti tinggi untuk membangun perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini.

“Manakala para pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Nordin menjelaskan, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Katanya, setakat ini tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim, jabatan agama Islam negeri atau majlis agama Islam Negeri.

“Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan pelbagai pihak.

“Oleh itu, Jakim menasihatkan kepada semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan disediakan di samping meningkatkan keyakinan pengguna,” katanya.

Mohamad Nordin memaklumkan, pihaknya mengambil maklum cadangan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas), Ayob Abd. Majid agar semua pengusaha restoran diwajibkan memiliki sijil halal sebelum dibenarkan beroperasi. - UTUSAN ONLINE