Maszlee berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak melarang mahsiswa berkumpul dan menganjurkan demonstrasi tetapi setiap yang dilakukan itu perlulah mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.

“Ini kerana saya percaya dengan membenarkan mahasiswa ini berkumpul dan membuat demonstrasi aman adalah bukti pertama kita merai kebebasan dan komitmen kerajaan PH untuk menjunjung demokrasi.

“Tetapi saya juga mohon agar duduk bantah ini jangan dibuat di dalam bangunan kerana ianya melibatkan isu keselamatan kementerian seluruhnya,” katanya menerusi akaun Twitternya di sini hari ini.

Satu bantahan aman dilakukan oleh beberapa mahasiswa di Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya malam tadi sebagai tanda protes dan menggesa Maszlee meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Susulan itu, difahamkan terdapat mahasiswa didakwa telah ditangkap dan kemudiannya dibebaskan hari ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Maszlee berkata, beliau mengambil maklum akan demonstrasi mahasiswa di pejabat kementeriannya malam tadi.

“Saya juga dimaklumkan bahawa mereka telah ditangkap malam tadi dan diberitahu kini mereka telah dibebaskan. Saya sedang meneliti mengapa mereka ditangkap kerana saya telah memaklumkan agar pihak berkuasa tidak menangkap demonstrasi duduk bantah ini.

“Saya akan menyiasat lanjut kes ini dan berharap semua mahasiswa yang terlibat berada dalam keadaan baik dan mendapat hak yang sewajarnya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE