Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana beliau dapat merasai sentimen dan perbezaan sokongan para pengundi di Parlimen berkenaan pada kali ini berbanding dua PRU terdahulu.

Parlimen Bandar Tun Razak kini diwakili oleh Tan Sri Khalid Ibrahim mewakili PKR.

“Dahulu dan kini berbeza. Pada PRU ke-12, perasaan perkauman menebal dalam kalangan pengundi yang memilih di antara calon Melayu dari PKR dan calon Cina dari MCA.

“Sembilan tahun kita dalam dakapan kesengsaraan. Sembilan tahun kita dalam kepanasan dan kehujanan. Sembilan tahun kita berada dalam longkang penderitaan. Ini masanya kita rampas semula Bandar Tun Razak di bawah BN,” katanya dalam majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Dry Run Parlimen Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak, Taman Tenaga, Cheras di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua UMNO Bahagian Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Lebih 1,000 penduduk Bandar Tun Razak hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN turut meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi pembangunan infrastruktur Bandar Tun Razak.

Ahmad Zahid menambah, BN mengamalkan dasar tidak bercakap negatif terhadap pihak lawan sebaliknya hanya memperkatakan apa yang dilakukan oleh parti itu.

“Jika kita tutup aib orang, orang pun akan tutup aib kita,” tegasnya.

Ahmad Zahid turut merayu supaya pimpinan MCA dan Gerakan Bandar Tun Razak menarik semula sokongan pengundi-pengundi Cina.

“Tiga perkara yang dijanjikan BN untuk komuniti Cina di sini iaitu peluang perniagaan, pendidi­kan dan keselamatan jika mereka 
mengundi BN,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE