NORAINI AHMAD

Naib Presiden UMNO yang memegang peranan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh BN.

"BN sudah putuskan Noraini. Dia sekarang merupakan ahli PAC," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jawatan Pengerusi PAC kini disandang oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Namun kedudukannya dipersoalkan memandangkan beliau dilantik memegang jawatan itu sewaktu masih bersama UMNO dan BN.

Pada hujung tahu lalu, Ronald bersama beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar daripada UMNO dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah berjanji supaya Pengerusi PAC akan dipilih dalam kalangan pemimpin parti pembangkang.

Tiadanya tanda-tanda akan berlaku pertukaran jawatan Pengerusi PAC didakwa menjadi antara sebab Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai seorang daripada Ahli PAC.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun hari ini berkata kerajaan PH sedang mempertimbangkan untuk mencari calon yang sesuai bagi memegang jawatan tersebut.

PAC sedang menyiasat dakwaan kehilangan sehingga RM19.47 bilion wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sebelum ini dituduh telah 'dirompak' oleh kerajaan terdahulu. - UTUSAN ONLINE