KUALA LUMPUR 18 Ogos – Acara larian BizRun 2018 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang buat pertama kali diadakan telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, acara larian berlangsung di Padang Merbok di sini telah memecahkan rekod MBOR dari segi jumlah penyertaan syarikat yang mengambil bahagian dalam satu acara.
Menurut beliau, acara tersebut telah menerima penyertaan sebanyak 740 buah syarikat berdaftar dengan lebih 5,000 orang peserta.
“Acara ini terbahagi kepada dua kategori iaitu lima dan 10 kilometer yang terbuka kepada semua ahli syarikat dan orang ramai.
“Ini juga merupakan satu program amal kerana sebahagian daripada kutipan yuran penyertaan peserta akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang terpilih,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Majlis pelepasan acara larian disempurnakan oleh Saifuddin pada pukul 7.30 pagi.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab.