Menurut laporan portal Daily Mail, pemain bintang pasukan yang terkenal dengan jolokan All Blacks itu turut berkesempatan melawat rakyat Malaysia yang sedang menerima rawatan, Mohd. Nazril Hisham Omar, 46, di Hospital Christchurch.

Williams yang beragama Islam hadir ke hospital itu ditemani seorang lagi bintang All Blacks, Ofa Tu’ungafasi dan pemain Richmond Tigers, Bachar Houli selepas menghadiri majlis memperingati kematian mangsa di dua masjid Christchurch.

Ketiga-tiga bintang sukan itu juga meluangkan masa berbual dan mengambil gambar bersama mangsa, keluarga dan kakitangan Hospital Christchurch.

Sejurus selepas kejadian tembakan itu berlaku 15 Mac lalu, Williams merupakan antara individu yang tidak dapat menahan kesedihan dengan memuat naik video mengecam tindakan tersebut dalam laman Twitter miliknya.

Menceritakan kejadian hitam itu kepada portal Stuff, Mohd. Nazril Hisham memberitahu kejadian berlaku semasa dia ingin menunaikan solat jumaat di Masjid Al Noor sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.

Beliau kemudiannya cuba berlari menyelamatkan diri namun ditembak di bahagian kaki dan belakang.

Pada masa sama, Mohd. Nazril Hisham turut melihat ramai mangsa rebah satu persatu akibat ditembak pengganas terbabit. - UTUSAN ONLINE