Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, cadangan yang diusulkan oleh Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah itu dilihat relevan berdasarkan sumbangan besar koperasi dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita akan cuba, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri jika perlu mendapatkan keputusan daripada Jemaah Menteri.

“Tetapi saya rasa molek juga nama koperasi itu seperti Kementerian Koperasi dan Pembangunan Usahawan tapi sama ada boleh pakai, terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berucap dalam Majlis Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Berlandaskan Semangat Bekerjasama dan Keusahawanan di Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Yang turut hadir, isteri Menteri Pembangunan Usahawan, Datin Seri Hamidah Osman; Ketua Setiausaha kementerian, Suraya Wan Mohd. Radzi; Timbalan Setiausaha kementerian (Bahagian Pembangunan), Muhammad Razman Abu Samah dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh.

Hadir sama, Presiden Angkasa yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Abdul Fattah dan Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Kamaruddin Ismail. - UTUSAN ONLINE