Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bina empangan 
di hulu Kelantan

Langkah hadapi bencana banjir besar pada masa hadapan

KOTA BHARU 15 Feb. - pembinaan sebuah empangan di kawasan hulu negeri ini khususnya daerah Gua Musang amat perlu diberi perhatian oleh kerajaan sebagai salah satu langkah menghadapi bencana banjir besar pada masa hadapan.

Omar Osman

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Omar Osman berkata, walaupun pembinaan empangan di negeri ini dilihat bukan satu pelaburan yang berbaloi dari sudut kewangan, namun ia memberi manfaat yang tinggi kepada seluruh masyarakat bagi mengelak kemusnahan seperti 'bah kuning' baru-baru ini.

“Purata kos membina sebuah empangan sekitar RM4 bilion, sudah tentu jika kita hanya melihat kepada pulangan perniagaan untuk beri justifikasi pembinaan, ia tidak berbaloi tetapi kita harus melihat pulangan lain iaitu pulangan sosial kepada pelaburan awam.

“Banyak kerosakan infrastruktur awam, kemusnahan harta persendirian dan penduduk kehilangan punca ekonomi akibat banjir baru-baru ini, maka cadangan pembinaan empangan sangat perlu dipertimbangkan kerana manfaat sosialnya sangat tinggi dengan jangka masa pulangan lebih 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara USM melalui Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) dengan HR Wallingford Ltd. (HR Wallingford) dari United Kingdom (UK) di Kampus Kesihatan USM, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Pembangunan Perniagaan Antarabangsa HR Wallingford, Geoffry Wilson dan Pengarah REDAC, Prof. Dr. Nor Azazi Zakaria.

Sementara itu, Nor Azazi berkata, hujan lebat dalam tempoh 10 hari antara 15 Disember hingga 25 Disember tahun lalu di hulu Kelantan menjadi punca banjir besar apabila limpahan air tidak dapat disekat daripada mengalir ke Sungai Kelantan kerana kawasan tadahan hujan di Gua Musang tidak mempunyai empangan.

Beliau berkata, jika empangan dibina di Nenggiri, Lebir dan Gua Musang, ia bukan sahaja boleh berfungsi sebagai takungan air mengawal banjir besar malah dapat menjadi punca bekalan air pada waktu kemarau dan juga tarikan baharu ekopelancongan.

“Banjir berlaku kerana jumlah air hujan yang turun di kawasan tadahan di hulu dalam tempoh 10 hari sebanyak 1,000 hingga 1,300 milimeter adalah hampir separuh daripada purata hujan tahunan.

“Bila jumlah air yang besar masuk ke sistem pengairan ditakdirkan pula fenomena air pasang besar, air tidak boleh mengalir keluar ke laut, lalu berlaku limpahan ke belakang menyebabkan semua kawasan termasuk Kota Bharu dan Tumpat banjir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan terhadap pembukaan tanah baharu mesti ditingkatkan bagi mengelakkan banjir lebih besar berlaku.

“Kita juga mesti kurangkan hakisan tanah yang menyebabkan banjir lumpur, jika air hujan lambat masuk ke sungai, skala banjir yang berlaku pasti tidak sebesar itu.

“Sistem saliran yang baik dapat mengimbangi limpahan air sungai, namun di Kelantan sistem saliran hampir tidak ada umpamanya di Bachok tidak ada langsung saliran tetapi kebetulan Sungai Kelantan tidak melalui daerah itu maka ia tidak banjir,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain