DR. MAHATHIR MOHAMAD

Tidak menamakan pihak berke­naan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, kerajaan sudah tentu akan menimbangkan pilihan yang lebih murah kerana ‘tidak cerdik’ kalau tidak menghiraukannya.

“Ada yang kata mereka boleh buat ECRL dengan RM10 bilion bukannya RM55 bilion. Sesete­ngahnya syarikat China, ada juga syarikat tempatan. Kita perlu berbincang dengan mereka sekiranya ada kemungkinan untuk me­ngurangkan kos daripada RM55 bilion kepada RM10 bilion, tidak cerdik kalau kita tidak terima.

“Tetapi kita perlu kaji apakah kita sebenarnya boleh kurangkan kos sehingga sebanyak itu,” kata­nya kepada The Malaysian Insight seperti yang disiarkan dalam portal berita tersebut hari ini.

Tambah Perdana Menteri lagi, kerajaan sedia membayar lebih daripada RM10 bilion tetapi sudah tentu bukannya RM55 bilion untuk landasan kereta api dari Kelantan ke Pelabuhan Klang itu.

“Membayar RM55 bilion untuk sesuatu yang anggaran tertingginya hanya RM30 bilion tidak baik untuk kedudukan kewangan kita,” katanya.

Dalam lawatan lima hari ke China baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) yang bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan sementara atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan projek ECRL dan projek lain yang berkaitan dengan China.

Mengulas perbincangan beliau dengan kerajaan China mengenai hal itu, Perdana Menteri memberitahu, beliau telah menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak mempunyai wang dan tidak mampu untuk meneruskan projek berkenaan.

“Sama ada kita batalkan projek (ECRL), menangguhkannya atau mengurangkan kosnya. Itu yang hendak kita lakukan.

“Butirannya akan ditentukan pada peringkat pegawai. Saya hanya menyebutnya daripada segi prinsip iaitu kita tiada wang dan kita perlu batalkan atau tangguh atau kurangkan kos,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir juga menyalahkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menandatangani kontrak yang berat sebelah dengan China bagi projek-projek berkenaan.

“Tidak seperti kontrak lain, yang dibayar mengikut kerja yang siap, mereka dibayar mengikut masa.

“Kita dapati kerja yang siap hanya 13 peratus tetapi mereka sudah dibayar sehingga 39 peratus. Apa yang kita dapat daripada wang yang sudah kita belanjakan, ini perlu dirunding semula,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menolak agar semua dokumen itu didedahkan kepada umum serta menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) se­perti yang digesa oleh Najib

“RCI tidak menyelesaikan apa-apa. Ia hanya untuk menuding jari dan jari-jari itu dituding kepada dia (Najib).

“Tidak perlu adakan RCI, be­liau yang mulakan. Kita tidak akan ada masalah ini kalau Najib bukan perdana menteri,” kata­nya.