Hal demikian kerana kerajaan berkemungkinan mewajibkan peraturan mengenainya pada tahun hadapan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan agensi itu di sini, hari ini, JKJR negeri melalui kerjasama rakan strategiknya akan terus mempergiatkan kempen advokasi melalui pelbagai medium hebahan secara berterusan bagi mengingatkan pengguna jalan raya.

“Ini bagi memastikan kepentingan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan jalan raya menjadi lebih selamat kepada semua,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 peringkat negeri telah dilancarkan di Stesen Minyak Petronas di Behor Temak di sini.

Kempen bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ anjuran JKJR negeri dengan kerjasama Petronas, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, bomba. Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

Tambah kenyataan tersebut, kempen yang diadakan tersebut bertujuan untuk mendidik serta memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berhubung kepentingan keselamatan mereka pada musim perayaan.

“Pendekatan ini adalah usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya di samping memastikan kelancaran lalu lintas melalui kawal selia pergerakan kenderaan,” kata kenyataan itu lagi. - UTUSAN ONLINE