Dr. Mohd. Asri menegaskan umat Islam perlu yakin Nabi Muhammad SAW tidak pernah mungkir janji termasuk dalam janji baginda untuk membawa para sahabat melakukan umrah semasa tahun Perjanjian Hudaibiyah.

Jelas, Dr. Mohd. Asri, Nabi Muhammad SAW memang pernah berjanji ataupun memberitahu bahawa baginda dan para sahabat akan dapat bertawaf di Kaabah, namun baginda tidak pernah memberitahu tahun tertentu.

Menurut Dr. Mohd. Asri, Nabi Muhammad SAW telah menjawab hal tersebut apabila Umar al-Khattab tidak berpuas hati dengan keputusan baginda untuk berdamai dengan kaum Quraisy dan tidak meneruskan hasrat melakukan umrah pada tahun Perjanjian Hudaibiyah itu.

Dialog Umar dan Nabi Muhammad SAW terdapat dalam riwayat Sahih al-Bukhari dan Muslim.

"Kata Umar, 'Tidakkah engkau telah memberitahu kami bahawa kita akan datang ke Kaabah lalu bertawaf mengelilinginya?' Jawab Nabi Muhammad, 'Bahkan. Namun apakah aku memberitahu engkau bahawa kita akan datang pada tahun ini?'

"Jawab Umar, 'Tidak'. Sabda Nabi SAW, 'Sesungguhnya engkau pasti akan datang ke Ka'abah dan bertawaf".

Dr. Mohd. Asri menjelaskan dialog berkenaan menunjukkan tiada sebarang janji Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa itu yang tidak tertunai. Bahkan janji baginda tertunai selepas Nabi Muhammad SAW dan para sahabat kembali semula ke Mekah dan menunaikan umrah pada tahun berikutnya.

"Nasihat saya, berhati-hati apabila berbicara tentang Rasulullah SAW. Ada akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.

"Di samping itu, hendaklah kita tahu bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad SAW jika kita tersalah memberikan maklumat.

"Bagi pihak yang tersilap atau tersasul, sila betulkan kenyataan dalam hal berkenaan. Semoga Allah bimbing kita semua," tegas Dr. Mohd. Asri.-UTUSAN ONLINE