Individu tersebut yang hadir ke rumahnya di Batu 7 Changkat Jong dekat sini kira-kira pukul 2.30 petang dengan menaiki kenderaan, bagaimanapun mengakui tidak mengingati dari mana dia memperoleh barangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, ekoran kejadian itu, penjual besi itu telah bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan mendapati barangan tersebut merupakan sebutir bom lama yang ditemukan atas timbunan tanah di tepi Jalan Changkat Jong.

"Ia berada dalam keadaan berkarat dan dipercayai merupakan bom peninggalan Perang Dunia Kedua.

"Sehubungan itu, satu tindakan pemusnahan ke atas bom tersebut telah dilakukan pada pukul 7.10 petang semalam dalam keadaan terkawal serta selamat tanpa sebarang kerosakan harta benda mahupun kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE