Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menegaskan, amalan itu sebaliknya memberi banyak kelebihan termasuk menjadikan pekerja nampak lebih sopan dan menarik, selain dihormati pelanggan.

"Ini hak orang Islam, tidak sepatutnya sesiapa mempertikaikan hak ini. Adakah orang tak pergi hotel disebabkan pekerjanya pakai tudung? Tidak, bahkan pekerjanya nampak lebih menarik, sopan dan dihormati.

"Sebab itu di Kelantan kita tidak sekat, malah jadikan peraturan pula supaya semua pekerja menutup aurat. Tolong hormati orang Islam isu ini sebagaimana kita hormati mereka dalam soal berpakaian," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, dasar melarang pekerja wanita memakai tudung merupakan tindakan paling tidak munasabah dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Persatuan Hotel Malaysia (MAH) sepatutnya tumpu kepada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan, kesantunan dan kesopanan sektor perhotelan memandangkan Malaysia kini menuju ke arah menjadi negara pelancongan.

"Kelantan pun ada hotel rangkaian antarabangsa dan kita tetap pastikan pekerja bahagian depan bertudung. Tak ada masalah pun, kita masih lagi dikunjungi pelancong asing." katanya.

Sebelum ini, Pengerusi MAH, Samuel Cheah Swee Hee berkata, dasar larangan bertudung di bahagian depan diamalkan rangkaian hotel antarabangsa menerusi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. - UTUSAN ONLINE