Desakan itu dibuat menerusi laporan polis oleh kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan pelbagai pihak di negeri ini di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Antara yang terlibat ialah Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ikatan Pelajar Islam Pahang, Pertubuhan Akademi Pendidikan Indera Mahkota, Gerakan Anak Melayu Pahang, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Pahang, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang, UMNO Bahagian Kuantan dan penghulu-penghulu Pahang.

Jurucakap mereka, Mohd. Sharil Abdullah berkata, kenya­taan dan gambar yang dimuat naik pemilik akaun Facebook itu semalam adalah biadab dan satu penghinaan kepada ketua negara yang baru dilantik sekali gus mengundang kemarahan seluruh rakyat di negara ini.

“Pihak berkuasa diminta menyiasat dan mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap individu berkenaan kerana tindakan seperti ini tidak boleh dimaafkan. Individu ini tidak layak menjadi rakyat negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.

Tegas Mohd. Sharil, kenyata­an dan gambar yang dimuat naik oleh Desmond Yongkor menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat selain menghina agama Islam kerana Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama berke­naan di negara ini.

“Kami sudah bosan dengan tindakan menghina yang disusuli dengan permohonan maaf daripada pelaku. Kali ini tindakan tegas dan tidak bertangguh-tangguh perlu diambil memandangkan kes ini melibatkan ketua negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali memberi jaminan akan mengambil tindakan dan menjalankan siasatan segera terhadap laporan polis yang dibuat berhubung isu tersebut.

Ujarnya, polis akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan sebelum menentukan tindakan selanjutnya kerana ia melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

“Polis memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan cuba atau berniat untuk melakukan perbuatan seperti ini apatah lagi melibatkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.