Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, pihaknya menyifatkan laporan berusia dua tahun itu bersifat jahat, rosak dan lapuk.

Katanya, masyarakat perlu dimaklumkan mengenai laporan tersebut yang dijangka akan dibahaskan esok sebelum semua ahli parlimen membuat undian.

“Salinan imbasan laporan ini supaya ia boleh dimuat-turun di https://drive.google.com/file/d/17yt4U1XminaBTQxSKFHKn2qRckknX1xt/view?usp=sharing

“ Bersih 2.0 menggesa semua rakyat yang prihatin untuk menulis kepada ahli parlimen di pautan https://www.parlimen.gov.my/ahli-dewan.html?uweb=dr&, bagi menggesa mereka untuk undi menentang laporan persempadanan Sabah diluluskan ataupun langsung tidak mengundi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Bersih 2.0, persempadanan tersebut akan menyebabkan pembahagian tidak sekata di kawasan parlimen mahupun di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kawasan Parlimen terbesar P171 Sepanggar mempunyai 55,294 iaitu 2.22 kali ganda bilangan pengundi berbanding dengan kawasan terkecil, P183 Beluran yang mempunyai 24,916.

“Begitu juga beberapa kawasan lain seperti DUN N69 Sri Tanjong yang mempunyai 25,104 iaitu 4.58 kali ganda bilangan pengundi berbanding dengan kawasan DUN terkecil N01 Banggi yang hanya mempunyai 5,485,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bersih 2.0 berpendapat bahawa laungan ‘Malaysia Baharu’ adalah kosong sekiranya perkara yang penting disembunyikan daripada pengetahuan umum sebelum keputusan dibuat. -UTUSAN ONLINE

Habis//