Sehubungan itu Yang Dipertuanya, Muhammad Aznur Syah Azman berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu menolak perbuatan sedemikian demi memastikan keamanan negara ini tidak tergugat.

Berikut petikan kenyataan penuh beliau;

Penggunaan pesat media sosial dalam kalangan generasi sekarang sememangnya memberi banyak kebaikan, tetapi malangnya sejak kebelakangan ini jika kita melayari media sosial pasti kita akan terbaca `posting’ yang menyebarkan perasaan benci terhadap kaum, agama dan individu termasuklah institusi raja.

Malaysia unik kerana walaupun masyarakatnya berbilang kaum dan agama namun dengan berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan, ia telah memastikan keharmonian dapat dikekalkan. Justeru saya berpendapat, kita perlu bersatu hati menolak sebarang sentimen kebencian khususnya dalam kalangan golongan belia.

Bagi mencapai matlamat ini, prinsip perpaduan dan Rukun Negara perlu terus diterapkan dalam kalangan generasi muda.

Penggunaan media sosial pula haruslah dilakukan dengan penuh beretika. Semua pihak terutama ahli-ahli politik perlu berhati-hati memuat naik sebarang kenyataan atau penggunaan ayat yang boleh mempengaruhi pengikut masing-masing.

Sebagai individu berpengaruh, mereka perlu mengelakkan kenyataan yang mampu membangkitkan kebencian pengikut masing-masing kepada mana-mana pihak atau individu sehingga akhirnya mencetuskan perbalahan dalam masyarakat.

Memandangkan media sosial kini sering kali digunakan untuk menyebarkan kebencian malah ada antara berbaur hasutan dengan menggunakan akaun palsu, MPP UiTM menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan serta tindakan tegas menangani isu ini.

Kita perlu ingat tunjang keamanan sesebuah negara seperti Malaysia bergantung kepada keteguhan perpaduan pelbagai kaum. Sistem pendidikan yang menggalakkan perpaduan kaum sejak di bangku sekolah tidak seharusnya dilupakan sebaliknya ia perlu diteruskan apabila seseorang itu memasuki alam dewasa demi generasi akan datang.

Oleh itu adalah penting, kita sebagai rakyat Malaysia yang dikenali mencintai kedamaian dan keamanan bersama-sama bersatu hati menolak kebencian antara kaum mahupun agama. Jadikanlah Malaysia sebagai contoh terbaik kepada negara-negara lain bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga dunia.