Mohd. Radzi Md. JidinMOHD. RADZI MD. JIDIN

Ketua Penerangan Bersatu, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, pengekalan dasar itu adalah selaras dengan matlamat asal program matrikulasi iaitu membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

“Kita memahami hakikat bahawa dengan lebih ramai pelajar memperoleh keputusan Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang, persaingan untuk mengikuti program matrikulasi menjadi semakin sengit.

“Tambahan pula, dengan dasar kerajaan memberikan keutamaan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga B40, akan menyebabkan terdapat pelajar cemerlang SPM daripada keluarga bukan B40 yang tidak mendapat tawaran ke program tersebut. Oleh itu, alternatif lebih baik perlu disediakan kepada pelajar cemerlang itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa penawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam Program Matrikulasi adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi tahun lalu.

Perkara itu juga berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi.

Dalam pada itu, mengenai isu pelajar cemerlang lepasan SPM berketurunan India yang gagal mengikuti program matrikulasi, Mohd. Radzi yakin bahawa isu itu akan dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak kementerian terbabit.

“Secara prinsipnya, mana-mana pelajar yang berkelayakan serta memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak kementerian wajar diberikan tempat untuk mengikuti pengajian.

“Sehubungan itu, Bersatu menyokong penuh usaha kementerian untuk meningkatkan imej dan mutu Kolej Tingkatan 6 di seluruh negara sebagai alternatif terbaik kepada pelajar cemerlang SPM untuk mengikuti pengajian prauniversiti selain daripada Program Matrikulasi yang ditawarkan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE