Dalam ucapan yang penuh syahdu, Fazley berkata, sempena ulang tahun ke-40nya, dia memilih malam ini untuk menunaikan pesanan ayahnya.

“Saya masih teringat pesanan arwah ayah. Seminggu sebelum dia meninggal dunia, dia pegang tangan saya dan isteri dan berpesan, bila masa mengizinkan, bersandinglah semula.

“Saya mahu kita semua tutup tirai cerita apa yang berlaku 13 tahun lalu dan mulakan hidup yang lebih bahagia. Akhirnya, kami bersanding semula di hadapan anda semua,” katanya.

Fazley berkata demikian ketika berucap di atas pelaminan bertemakan taman dengan bersaksikan ahli keluarga dan teman-teman wartawan di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Fazley juga menayangkan video ucapan arwah ayahnya ketika majlis persandingan mereka 13 tahun lepas yang mengundang sebak para tetamu yang hadir.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan tiga anak lelaki Fazley, Fariedz, Fieradz dan Fierudz.

Pasangan merpati sejoli itu bernikah pada 7 November 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata termasuk anak bongsu, Alayna Selma, setahun. - UTUSAN ONLINE