Hishammuddin TUN HUSSEIN (tengah) bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Ryamizard Ryacudu (kiri) dan Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri Brunei, Kolonel (RTD) Datuk Seri Dr. Mohammad Yasmin Umar ketika mengadakan pertemuan tertutup sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 di Langkawi, Kedah, semalam. bernama

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah tersebut penting bagi membuktikan bahawa sesuatu permuafakatan itu tidak hanya wujud sekiranya berlaku musibah semata-mata.

Katanya, permuafakatan itu juga perlu dipertingkatkan kerana acaman bukan tradisional pada abad ini sudah semakin jelas terutama melibatkan pihak yang tidak mewakili mana-mana negara.

“Oleh itu, dinamik sesebuah perhubungan antarabangsa kini telah semakin rumit apabila berlaku peningkatan pihak-pihak tidak bernegara ini. Semua ini akan memberi impak yang signifikan kepada keselamatan maritim.

“Kepentingan sesebuah keselamatan maritim yang berkesan kepada ekonomi global adalah jelas dan tidak boleh dipandang sebelah mata. Perdagangan melalui laut sahaja te­lah menjangkau 90 peratus daripada perdagangan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Sidang Meja Bulat Panglima-panglima Tentera Laut sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, keselamatan kawasan ma­ritim perlu diutamakan memandangkan Selat Melaka sebagai laluan penting bagi penghantaran minyak dunia dan sebarang ancaman akan menjejaskan perdaga­ngan global bagi bahan api tersebut.

Kata beliau, tidak kira ancaman itu datangnya daripada pelanunan, keganasan maritim atau lain-lain ancaman merentas negara, perkara tersebut pasti menjejaskan semua pihak.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, perkara yang jelas adalah inisiatif menentang ancaman-ancaman seumpama itu memerlukan usaha penyelarasan daripada pasukan tentera laut dan agensi pe­nguatkuasaan terlibat.

“Dalam konteks ini, saya berbesar hati untuk memberitahu bahawa inisiatif Peronda Selat Melaka (MSP) telah mengurangkan pelanunan dan insiden rompakan laut di selat itu sejak ditubuhkan pada 2004.

Oleh itu katanya, pihaknya berharap kejayaan dan kerjasama se­perti itu dapat diperolehi di kawasan lain melibatkan rantau ini.