Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan mengenai perkara terbabit.

Bagaimanapun, katanya, ke­men­terian bersetuju agar pe­makaian kasut berwarna hitam dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan peng­gunaan pada sesi 2020.

“Dalam tempoh transisi itu, murid dan pelajar masih dibenarkan memakai kasut berwarna putih dan pihak sekolah diminta agar tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid dan pelajar memakai kasut berwarna hitam.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa menyediakan anak-anak dengan kasut berwarna hitam kerana mereka masih boleh membuat pilihan sehingga 2020,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, pihak berkepentingan dalam libat urus itu ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, guru-guru, murid, pentadbir sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembekal kasut berwarna hitam.

Sebelum ini Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan mulai tahun hadapan semua pelajar (sekolah kebangsaan dan menengah) tidak lagi perlu memakai kasut berwarna putih sebaliknya ditukar kepada warna hitam.

Maszlee berkata, peraturan baharu tersebut dibuat selepas pihaknya mengambil kira keluhan ibu bapa selain mahu meningkatkan keceriaan murid dan pelajar.

Bagaimanapun, pengumuman menerima reaksi yang pel­bagai dalam kalangan ma­syarakat kerana ada yang berpendapat perubahan tersebut bukan satu keperluan mendesak dan meminta pelaksanaannya ditangguhkan.

Namun, ramai yang menyokong pendekatan baharu itu terutama ibu bapa kerana mereka berpendapat akan memudahkan urusan ke­rana kasut berwarna hitam tidak mudah kotor.