Seperti ditakrifkan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Arifuddin Habib, Mohd. Arpan sering tampil dengan idea-idea di luar kotak pemikiran para pegawai dan kakitangannya yang sering menjadi tunas kepada setiap perancangan mahu pun program yang dijalankan.

Baginya, pembangunan modal insan adalah antara perkara terpenting bagi merubah nasib sesebuah masyarakat dalam mendepani krisis ekonomi mahu pun sosial.

Disebabkan itu, beliau memperkenalkan beberapa program bersifat mendidik untuk anak-anak muda antaranya Program Imam Muda, Ulul Albab serta Sistem Pengajian Abahata.

Selain itu, Pusat Latihan KEDA (Pustika) yang ditubuhkan pada 1989 dan pada mulanya hanya menawarkan kursus-kursus latihan vokasional kemudian dinaik taraf menjadi Kolej KEDA dan diiktiraf sebagai berpotensi tinggi.

Dalam satu wawancara beberapa tahun lalu, Mohd. Arpan menzahirkan harapan supaya lebih ramai belia menceburi bidang kemahiran seterusnya berkecimpung dalam dunia perniagaan bagi menjana pendapatan tinggi.

Justeru tidak hairanlah mengapa golongan peniaga atau usahawan yang baru bertatih, seringkali mendapat perhatiannya menerusi pelbagai program pembangunan dan bimbingan yang ditawarkan KEDA.

Perkara itu diakui seorang usahawan bimbingan KEDA, Syarifudin Omar yang diberi kesempatan untuk berucap pada majlis ‘Sekalung Budi, Sehayat Kenangan’ yang diadakan sempena persaraan Mohd. Arpan di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Alor Setar, baru-baru ini.

“Terlalu banyak jasa beliau kepada golongan usahawan yang bernaung di bawah KEDA. Antaranya pengenalan kepada program ‘Mentor Mentee’ di mana usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan akan memilih ‘mentee’ untuk dilatih hingga berjaya.

“Menerusi program ini, ada usahawan yang mampu memperolehi pendapatan sebanyak RM60,000 sebulan. Pernah Mohd. Arpan katakan kepada saya, kalau boleh beliau tidak mahu golongan peniaga kekal begitu saja, sebalikya berubah menjadi usahawan,” katanya.

Tambah Syarifudin, melihatkan kejayaan itu, beliau bersama beberapa usawahan KEDA lain membawa ‘silibus’ yang sama untuk diperkenalkan kepada negeri-negeri lain bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat di negara ini.

“Sebagai contoh, kami akan berurusan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) Johor di mana mereka berminat untuk menggunakan teknik sama yang diamalkan di sini,” katanya.

Antara peranan terbesar dimainkan Mohd. Arpan dalam mengemudi KEDA adalah keupayaannya dalam membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki kehidupan lebih baik.

Buktinya, hampir 80 peratus penduduk yang mendiami 58 Desa Keda di seluruh negeri ini mencatat kejayaan dalam aspek ekonomi, pendidikan dan prasarana.

Kejayaan itu sebenarnya dibantu oleh pengenalan beberapa projek berteknologi tinggi yang turut melibatkan penduduk antaranya penanaman buah melon dan nanas serta ternakan tiram.

Sebenarnya apa yang disebuatkan itu, hanya sebahagian daripada sebegitu banyak jasa KEDA dan Mohd. Arpan kepada rakyat negeri ini.

Banyak lagi yang tidak dapat dirungkaikan akibat keterbatasan ruang antaranya kewujudan kilang air mineral, projek-projek agropolitan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa serta Projek Pusat Transformasi Rekreasi dan Komuniti di Serdang.

Justeru tidak hairanlah mengapa jangka hayat KEDA yang sepatutnya tamat pada 2011 setelah organisasi itu berusia 30 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta Penubuhan KEDA, telah dihapuskan bagi memberi ruang kepada KEDA untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Kepada KEDA, teruslah berjasa kepada rakyat sementara kepada Mohd. Arpan pula, selamat bersara dan terima kasih atas segala budi yang tidak terbalas.