Titah baginda, budaya sukan perlu sentiasa tersemat di dalam jiwa para pelajar sekolah seterusnya membantu mencapai hasrat negara dalam melahirkan barisan atlet bertaraf profesional, berkaliber dan disegani.

"Galakan dan sokongan kepada golongan muda ini mesti berterusan kerana bidang sukan juga boleh menjamin masa depan jika ia dilakukan secara bersungguh-sungguh," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah 1Murid 1Sukan KPM-YBR Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR) Malaysia, Nor Syikin Shahrudin dan Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Zainal Abas.

Kejohanan selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 Oktober lalu yang melibatkan penyertaan 16 buah pasukan ini adalah anjuran Kementerian Pendidikan dan YBR.

Sementara itu, titah baginda, kejohanan tersebut adalah platform terbaik bagi mencungkil potensi serta bakat murid-murid pada usia yang masih muda seterusnya diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Baginda bertitah, usaha murni tersebut selaras dengan dasar 1Murid 1Sukan yang dibentuk dalam menyemarakkan lagi sukan serta memberi pendedahan asas kepada murid terhadap amalan gaya hidup aktif dan sihat.

"Selain itu, ia juga memberi tumpuan ke arah melahirkan modal insan yang seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya.

"Melalui platform kejohanan ini juga, ada di antara para peserta akan berpeluang untuk diserap masuk ke dalam akademi-akademi bola sepak di negara ini," titah baginda. - UTUSAN ONLINE