Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Abdul Jalil Nordin berkata, program pengajian per­ubatan memakan masa selama lima ke enam tahun dan sekiranya segelintir pelajar sudah hilang minat sewaktu pertengahan pengajian, mereka wajar diberi peluang memasuki jurusan lain seperti sains kesihatan.

Katanya, tindakan tersebut lebih wajar dilaksanakan berbanding memaksa mereka yang sudah hilang minat dalam bidang tersebut untuk meneruskan lagi pengajian yang pada akhir­nya hanya akan menyebabkan masalah disiplin apabila bergelar pegawai perubatan nanti.

“Mereka yang berasal daripada bidang perubatan yang telah memasuki jurusan sains kesihatan sebagai contoh akan berpeluang untuk terlibat dalam kumpulan sokongan klinikal yang akan melakukan kajian mengenai isu perubatan semasa, namun satu perbincangan lebih lanjut perlu diadakan bagi membincangkan cadangan ini.

“Bukan itu sahaja, golongan ibu bapa dan generasi muda juga wajar didedahkan dengan realiti dan komitmen yang terpaksa dihadapi oleh seorang doktor perubatan bukan hanya melihat kepada aspek materialstik semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan persidangan Advance In Internal Medicine (AIM) 2017 di Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),UPM, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengenai doktor merupakan kakitangan awam yang pa­ling ramai dikesan ponteng kerja dan ada antara mereka ‘hilang’ selama 200 hari tanpa dapat dikesan.

Disebabkan masa­lah disi­plin tersebut, negara rugi besar kerana kos untuk melahirkan seorang doktor tidak murah iaitu mencecah RM1 juta seorang.

Sementara itu, Ketua Unit Per­ubatan Dalaman, Jabatan Perubatan, FSPK UPM, Dr. Bahariah Khalid memberitahu, AIM diadakan bertujuan mempromosikan penyebaran perkongsian saintifik penjagaan kesihatan secara holistik yang menyasarkan penglibatan pengamal per­ubatan dalaman.

“Ini adalah platform untuk pakar perubatan, paramedik, ke­jururawatan dan pihak-pihak yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan perubatan dan buat pertama kalinya juga persidang­an ini menyentuh mengenai pe­nyakit berkaitan kanser darah yang jarang dibincangkan dalam kalangan masyarakat.

“Malah persidangan ini juga merupakan satu usaha jaringan industri dan kemasyarakatan UPM dengan universiti atau agensi berkaitan mengenai ke­perluan kelestarian amalan pe­rubatan pada setiap lapisan ma­syarakat,” ujarnya.