Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Borhan Ahmad Zakaria berkata, patung ‘Na Tuk Kong’ atau ‘Datuk Keramat’ merupakan Dewa Melayu yang disembah kaum Cina berdasarkan kepercayaan mereka, namun ia tiada kena mengena dengan orang Melayu dan agama Islam.

“Tindakan ini merupakan satu penghinaan terhadap agama Islam selaku agama rasmi Persekutuan dan juga cubaan mewujudkan ketegangan antara kaum di Malaysia khususnya di Klang. Tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi amat kurang ajar serta biadab.

“Ia semakin menjadi-jadi, setelah kepala babi hutan, kini tokong pula digunakan untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu dan jika tidak ditangani secara serius akan menjerumuskan negara ke kencah pergaduhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Borhan berkata, Perkasa Selangor tidak mahu menuduh siapa yang menjadi dalang di sebalik kejadian ini namun berharap pihak berkuasa surau membuat laporan polis.

“Perbuatan pihak terbabit jelas mempunyai agenda yang curang lebih-lebih lagi ia mampu mencetus perkara sensitif yang berbaur keagamaan dan perkauman.

“Perkasa Selangor menentang sekeras-kerasnya tindakan terkutuk ini dan berharap agar pihak polis dapat mengambil langkah segera serta mengenakan tindakan yang serius terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan perkara itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE