Mohd. Salleh Md. Lazim, 47, berkata, tindakan tersebut dilakukan bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi berkongsi semangat patriotik serta cintakan tanah air di samping menghargai jasa pejuang terdahulu yang berkorban untuk negara.

“Ada cubaan sabotaj dilakukan individu tidak bertanggungjawab dengan mencuri bendera yang dipasang tetapi ia tidak pernah melunturkan semangat untuk mengindahkan halaman rumah dengan hiasan bendera Malaysia setiap kali tiba bulan Ogos,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selain menggunakan bendera se­bagai medium hiasan, dia turut menggunakan cat bersesuaian bagi melukis lambang negara, bunga raya serta bendera negeri pada beberapa bahagian seperti ruang dalaman, dinding dan si­ling.

“Usaha mengecat dan melukis dilakukan secara bergilir-gilir bersama anak-anak dan sehingga hari ini, hampir 90 peratus berjaya disiapkan serta akan siap sebelum tiba 31 Ogos ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Salleh berkata, setelah hampir 11 tahun melakukan pelbagai usaha inisiatif sendiri bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, dia berharap ada pihak dapat membantu usaha itu kerana berhadapan dengan kekangan kewangan.

“Ada banyak idea lagi tetapi saya harap ada pihak luar termasuk individu, syarikat korporat atau agensi kerajaan dapat tampil menghulurkan bantuan bagi meneruskan usaha ini, bukan setakat tahun depan malah sampai bila-bila,” katanya.

Tambahnya, dia berhasrat untuk memasang lebih banyak ben­dera di hadapan rumah terutama di sepanjang Terusan Wan Mat Saman sebagai tanda menghargai jasa pesawah serta pemimpin terdahulu yang sentiasa mencari jalan bagi meningkatkan pendapatan petani.

“Saya yakin ia mampu menarik perhatian pengguna jalan raya selain meningkatkan kesedaran serta semangat cintakan negara apabila sama-sama berkongsi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.