Bengkel yang turut mendapat kerjasama majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) dan Kelab Wanita Ikon itu dianjurkan sejak Ogos lalu dan berakhir hari ini.

Pengetua BTW, Rumaizon Abdul Malik berkata, peserta diberi pendedahan mengenai cara untuk mengetengahkan perniagaan mereka antaranya cara memper­kenalkan jenama dan memasarkan produk.

“Setiap peserta mempunyai produk yang berbeza namun menghadapi masalah untuk mengembangkan perniagaan.

“Melalui bengkel ini peserta dikumpulkan di bawah satu bumbung dan berpeluang mendapatkan bimbingan dengan lebih berkesan malah dibimbing oleh tenaga pengajar yang profesional,” katanya ketika ditemui dalam majlis penutup BTW.

Yang hadir sama, Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial Mara, Zulfikri Osman serta Presiden Kelab Wanita Ikon, Datuk Normaziah Sheikh Mohammad.

Dalam majlis tersebut kesemua peserta menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Zulfikri.

Rumaizon yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Idea Institute berkata, pihaknya yakin bengkel tersebut dapat melahirkan usahawan yang lebih matang dan produk mereka dapat menembusi pasaran global.

“Apa yang penting mereka perlu berkeyakinan dan sentiasa memikirkan cara untuk menambah baik produk.

“Adat perniagaan ada jatuh dan bangun, jangan berputus asa dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri,” katanya.