Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya masih memerlukan maklum balas daripada orang awam untuk memasukkan atau menggugurkan barangan tertentu.

“Sungguhpun senarai yang dikeluarkan JKDM hanyalah cadangan, namun Kementerian Kewangan berpandangan adalah perlu barangan mahal yang mewah yakni big-ticket items haruslah dikenakan SST,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Guan Eng berkata, antara barang-barang tersenarai untuk pengecualian adalah big-ticket items seperti kapal terbang, kapal mewah, feri, penumpang, helikopter, kapal angkasa dan peralatan luncur salji.

Semalam, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam dalam sidang akhbar berkata, setakat ini, jabatan itu hanya memuat naik senarai barangan berkadar sifar peratus dalam portal rasmi JKDM.

Senarai barangan berkadar lima dan 10 peratus akan ditentukan minggu hadapan.

Guan Eng berkata, beliau sekali lagi menekankan yang cukai barang dan perkhidmatan (GST) mungkin lebih telus dan efisien berbanding SST.

“Sebagai Kerajaan Persekutuan yang komited untuk bercakap benar berdasarkan fakta dan ang­ka, saya bersedia menyatakan bahawa GST mungkin lebih telus dan efisien berbanding SST.

“Ini kerana GST berjaya dikenakan ke atas lebih ramai pembayar cukai termasuk orang biasa sehinggakan pelaksanaan cukai itu berjaya mengutip sebanyak RM44 bilion berbanding RM21 bilion yang dikutip oleh SST,” katanya.

Guan Eng berkata, lebihan RM23 bilion daripada GST itu adalah membebankan rakyat sehingga kos sara hidup mereka terjejas.

Beliau menambah, GST le­bih efisien dan telus apabila ia dikenakan ke atas 60 peratus daripada Bakul Barangan dan Perkhidmatan CPI (Indeks Harga Pengguna) berbanding dengan hanya 38 peratus daripada Bakul Barangan CPI oleh SST.

“Oleh itu dengan penggantian GST kepada SST, bermakna RM23 bilion yang dikutip daripada GST akan dikembalikan kepada rak­yat,” katanya.