Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu sentiasa mendapatkan laporan semasa keadaan di situ daripada wakil negara ini yang berada di Sudan.

"Nasihat kepada penuntut kita di sana supaya tidak pergi ke lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat dan berlaku pergolakan.

"Memang terdapat penuntut Malaysia yang telah pulang ke negara ini. Mereka bukan dipanggil pulang tetapi kerana mereka bercuti dan telah merancang untuk pulang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah ke Pusat Dialisis Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Cenderawasih di sini hari ini.

Sejak 19 Disember lalu, perusuh dan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Khartoum selepas kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan kos roti dan akan menyebabkan kos sara hidup meningkat.

Ekoran insiden itu, 109 mahasiswa negara ini terperangkap ekoran penutupan universiti akibat pergolakan dan Kementerian Pendidikan baru-baru ini memaklumkam penuntut di sana dalam keadaan selamat dan telah pun menjalankan kehidupan seharian seperti biasa.

Secara keseluruhannya 150 rakyat Malaysia menetap di negara tersebut termasuk mahasiswa, diplomat serta ahli perniagaan. - UTUSAN ONLINE