Pengerusi Yayasan Belia Sedunia (WYF), Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, belia sebagai generasi pemimpin pelapis pada masa akan datang perlu memainkan peranan besar untuk memanfaatkan kemudahan teknologi moden itu ke arah yang positif dan menolak segala unsur negatif.

Katanya, dunia sekarang berdepan dengan cabaran penyebaran sumber maklumat menerusi media sosial yang mampu mencetuskan keadaan tidak harmoni, suasana cemas dan untuk itu belia perlu menyedari tugas mereka sekarang adalah memastikan pengaruh media sosial digunakan hanya untuk tujuan yang baik.

“Sebagai golongan yang akan memimpin negara pada masa akan datang, belia adalah generasi yang diharapkan untuk membantu mempromosi usaha setiap negara mencegah keganasan, menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dan membantu meningkatkan keamanan sesama masyarakat.

“Mereka perlu mengelak daripada menjadi belia yang sentiasa mencaci sesama sendiri, bersifat pencetus kepada pergaduhan kaum dan ejen keganasan di peringkat global,” katanya.

Mohd. Ali ditemui selepas merasmikan persidangan antarabangsa bertajuk ‘Belia, Keamanan dan Keganasan Eksteremis’ anjuran WYF yang berlangsung selama empat hari di sebuah hotel di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi WYF, Varsha K. Ajmera.

Persidangan yang berlangsung sehingga Jumaat ini menghimpunkan sebanyak 82 belia dari seluruh dunia bagi membincangkan hal-hal berkaitan langkah golongan belia menangani ancaman jenayah keganasan antarabangsa dan mewujudkan keselamatan serantau.

Ia melibatkan pembentangan lima kertas kerja daripada pakar keselamatan sedunia termasuk sesi pembentangan kertas kerja daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay petang ini bertajuk `Strategi Penguatkuasaan Undang-undang berhubung Keganasan Eksteremis’. - UTUSAN ONLINE