Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman berkata, memo pertukaran sudah diperoleh daripada pihak Kementerian Pendidikan tetapi belum diserahkan kepada bekas pengetua itu yang kini ditempatkan di Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan negeri.

Beliau berkata, pengetua wanita itu kerap mengambil cuti sakit dan pihaknya menunggu sehingga dia sihat sebelum menyerahkan memo pertukaran berkenaan.

“Pihak jabatan merasakan tidak ada masalah untuk menghantar dia bertugaa ke mana-mana sekolah.

“Dia tetap seorang pengetua dan kita akan terus memberi bimbingan kepada beliau melaksanakan fungsi dan peranan sebagai pengetua, sekolah baharu yang akan menerimanya nanti tidak perlu bimbang,” katanya selepas Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas negeri Kelantan 2018 di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kelantan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pengetua berkenaan, Norriha Abd. Rahman ditukarkan ke bahagian pentadbiran sebagai Pegawai Kanan Perkhidmatan Pendidikan dalam satu arahan melalui surat bertarikh 18 Julai 2018 yang ditandatangani Pe­ngarah Pendidikan negeri.

Ia susulan bantahan sekumpulan guru SMK Ketereh yang menaikkan sepanduk di dalam kawasan sekolah berkenaan menggesa Jabatan Pendidikan negeri menukarkan pengetua sekolah itu yang didakwa mencetus tekanan pera­saan dan suasana persekolahan yang tidak tenteram.

Sebelum gesaan itu dibuat, seramai 46 pelajar sekolah itu terkena histeria, meraung bersahut-sahutan dan menjerit kesakitan tanpa sebab sebelum bertepuk tangan sehingga tidak sedarkan diri. - UTUSAN ONLINE