Penyelaras program, Laksamana Pertama (B) Datuk Ir. Ahmad Murad Haji Omar, 62, berkata, pertemuan semula alumni ini amat bermakna terutamanya ketika semuanya sedang meniti usia emas.



“Penganjuran program yang masuk tahun kedua ini menampakkan penambahan bilangan ahli apabila lebih 50 orang berpeluang hadir. Bersempena dengan program ini bekas pelajar berpeluang melawat sekolah bagi mengimbau kenangan lama.



“Lebih bermakna lagi apabila program ini turut dihadiri oleh bekas guru antaranya Tuan Haji Yusof Karto, Joseph Velieth, Han Heng Juan, Han Yek Yong, Seah Char Boh, Tuan Haji Hamid Ariffin dan Cheah Phee San. Turut hadir bekas pelajar tertua EC, Abdul Hamid Ariffin yang kini berusia 99 tahun setelah menamatkan persekolahan pada 1935,” katanya.



Tambah Ahmad Murad, bekas pelajar turut menyatakan komitmen untuk menyumbang dana bagi menceriakan dan mencantikkan muzium sekolah yang menyimpan banyak coretan sejarah.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pertemuan kedua ini dapat mengumpulkan lebih ramai bekas pelajar hasil usaha dan kerja keras rakan-rakan yang diketuai Ungku Muhsin Ungku Mohd sebagai Ketua Chapter Johor Bahru.


“Hubungan kami ketika sekolah memang akrab. Justeru, kami tidak mahu hubungan rapat terputus begitu sahaja selepas masing-masing tamat persekolahan. Apatah lagi setelah masing-masing dalam usia bersara,” katanya.

Beliau tidak menafikan kecanggihan teknologi terutamanya kemudahan media sosial dan aplikasi WhatsApp serta Messenger banyak membantu mengumpulkan rakan-rakan.

Lebih bermakna, pertemuan ini membangkitkan semangat setiakawan apabila berpeluang bertemu rakan-rakan yang kurang sihat selain mendoakan kesejahteraan mereka.

Dengan moto 'EC Must Lead', sekolah ini banyak melahirkan tokoh ilmuwan, korporat serta pemimpin negara antaranya Dr. Daing Nasir sendiri yang pernah tersenarai dalam 100 tokoh yang melakar kegemilangan EC dalam buku, 'Maktab Sultan Abu Bakar: Sejarah dan Biografi 100 Tokoh Melakar Kegemilangan' sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 beberapa tahun lalu.
 


Tokoh lain termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin, Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Rahmat dan tokoh korporat, Tan Sri Mohd. Ali Hashim.
 
EC yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) dan ditubuhkan pada 21 Mac 1914 menyimpan pelbagai lipatan sejarah seiring dengan usianya.

Jika Perak berbangga dengan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula dengan Victoria Institution (VI), begitu jugalah rakyat Johor dengan institusi warisan, iaitu EC atau MSAB. – UTUSAN ONLINE