Tertuduh, Khor Khan Khai, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Dianne Ningrat Nor Azahar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun di tingkat 3 sebuah pejabat di Jalan Sungai Rambai di sini kira-kira pukul 11.15 malam pada 24 Ogos lalu.

Dia yang kini tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Khan Khai diikat jamin sebanyak RM6,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 2 Oktober ini.

- UTUSAN ONLINE