Allahyarham yang ber­­usia 66 tahun dan merupakan KPN Ketujuh meninggal dunia kira-kira pukul 8.45 pagi.

Menteri Dalam Ne­ge­ri, Datuk Seri Dr. Ah­­mad Zahid Hamidi ber­­kata, pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar kerana beliau banyak memberi sumbangan dari segi ke­selamatan negara khususnya dalam operasi antikeganas­an.

“Beliau juga banyak memberi idea baharu kepada saya ketika saya mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri terutamanya tentang pencegahan dan pembanterasan jenayah.

“Hari ini saya turut mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berada di Beijing, China; Timbalan Perda­na Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini berada di Jepun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Kha­lid Abu Bakar yang juga berada di luar negara, un­tuk menziarahi dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Aman Perdana, Meru, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Timbalan KPN, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun; Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dan Bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan.

Allahyarham yang dilahirkan di Manjung, Perak dilantik menjadi KPN pada 6 November 2003 hingga 11 September 2006.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Maizura Yusof, 44, dan tiga orang anak iaitu Eda Mastura, 41, Mahathir, 35, dan Mahadi, 35.

Sebelum menjadi KPN, Allahyarham merupakan pengarah pertama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Ketua Polis Kedah serta Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham dikebumi­kan di Tanah Perkuburan Islam Bu­kit Kiara selepas solat Asar.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, satu majlis pengebumian tertinggi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Urusan pengebumian akan di­kendalikan sepenuhnya oleh PDRM sebagai menghargai jasa dan sumbangan arwah kepada pasukan keselamatan dan negara. Allahyarham ialah seorang yang tegas terutamanya tentang disiplin dan integriti yang tidak membenarkan perkara penye­lewengan berlaku,” katanya.