Norshahida Zolkifly, 34, berkata, dua laporan dibuat di Balai Polis Nilai di sini pada 30 November lalu untuk tindakan lanjut kedutaan negara berkenaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, dia bimbang jika namanya terpalit dalam sebarang urusan perniagaan pelakon 'KL Gengster' itu atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 36.

Beliau mendakwa, Adi Putra mengubah suai sijil nikah milik pelakon itu bersama bekas isteri pertamanya, Zuhaidah Yusof, 42, dengan meletakkan namanya (Norshahida) di dalam sijil nikah tersebut.

"Saya membuat laporan kerana tidak mahu ada sebarang kaitan dengan beliau dan bimbang jika visa itu disalah guna untuk tujuan lain," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, dia tidak membuat laporan polis sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memutuskan pernikahan mereka berdua tidak sah pada Julai lalu kerana bimbang berlaku pergolakan rumah tangga antara mereka berdua.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Azrul Hisham Mohd. Shaffei ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan. - UTUSAN ONLINE