Adik Allahyarham, Redjuan Shaid, 64, yang mengesahkan perkara itu berkata arwah abangnya dimasukkan ke HTJ pada Ahad lepas selepas kesihatannya merosot.

"Abang saya sebelum ini mengalami lumpuh akibat stroke sejak 11 tahun lepas dan dia kerap kali masuk dan keluar hospital sejak akhir-akhir ini.

"Pada Ahad lepas dia dimasukkan ke hospital setelah mengalami demam, sesak nafas dan beberapa penyakit lain termasuk kencing manis dan buah pinggang," katanya kepada Bernama di sini.

Redjuan berkata jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gadong Jaya di sini, selepas solat Asar.

Muhamad Shahlan yang dilahirkan di Kampung Pelegong, Batu 8, Labu, meninggalkan isteri Datin Rosliah Abu, 67, dan sembilan orang anak.

Beliau merupakan ADUN Labu selama tiga penggal dari 1995 hingga 2008 dan pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dari 1999 hingga 2004. - BERNAMA