Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, harga telur ayam yang mengalami kenaikan sebelum ini juga akan kembali pulih selepas pengeluaran bahan tenusu itu berjaya ditingkatkan selaras dengan permintaan pengguna.

Menurutnya, kenaikan harga telur ayam itu berpunca daripada beberapa faktor antaranya kekurangan pengeluaran, pembelian secara panik dan penutupan beberapa ladang pengeluaran.

"Kita yakin bagi musim perayaan akan datang seperti sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina, pengeluaran telur ayam mencukupi dan mampu menampung keperluan pengguna.

"Buat masa ini, kita ada lebihan telur ayam sebanyak 113 peratus di dalam negara berbanding permintaan," katanya selepas mengadakan lawatan  di sebuah ladang pengeluaran telur ayam, di sini hari ini.

Tze Tzin berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan pengeluaran telur ayam terganggu sebelum ini antaranya berlaku pengurangan jumlah ladang pengeluaran telur ayam.

Jelas beliau, pengurangan itu berlaku sejak 2016 apabila terdapat beberapa ladang pengeluaran menghentikan operasi menjadikan jumlahnya di kawasan utara kini hanya 79 premis berbanding 98 sebelum ini.

"Selain itu, pada bulan lalu, sebuah ladang pengeluar telur di Perak terpaksa dikuarantin kerana disyaki dijangkiti penyakit yang mengakibatkan pengeluaran kurang, namun kini disahkan bebas penyakit dan pengeluarannya kembali normal," katanya.

Dalam pada itu, Tze Tzin berkata, pihaknya turut berusaha membantu pengusaha telur ayam termasuk mendengar masalah yang dihadapi mereka bagi memastikan harganya sentiasa stabil kepada pengguna. - UTUSAN ONLINE