Ketua Cawangan KPDNHEP Teluk Intan, Suhaimi Dawi berkata, pihaknya telah mengambil langkah tertentu untuk mengelak berlakunya masalah kekurangan bekalan minyak petrol di daerah ini terutama menjelang sambutan tahun baharu 2019 malam ini.

Menurutnya, terdapat sebanyak 25 buah stesen minyak beroperasi di Hilir Perak untuk kemudahan pengguna mendapatkan bekalan.

"Petronas mempunyai empat buah stesen, Petron empat buah, Shell lapan stesen, Caltex empat stesen, BHPetrol tiga stesen dan Buraq Oil dua buah stesen.

"Pemeriksaan dan pemantauan terhadap stesen minyak petrol di Hilir Perak telah dijalankan mulai 27 Disember lalu dan mendapati bekalan minyak petrol mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Changkat Jong, di sini hari ini.

Menurut Suhaimi, pihaknya sentiasa memastikan bekalan minyak petrol mencukupi khususnya pada musim sambutan perayaan.

Katanya, ini dilakukan dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen minyak di daerah ini.

"Pengguna yang menghadapi masalah bekalan minyak petrol atau barangan keperluan khususnya di musim perayaan boleh membuat aduan kepada kami," katanya. - UTUSAN ONLINE