Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Salleh berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, bekalan daging atau haiwan ternakan seperti lembu dan kambing itu telah diimport dari Thailand.

Katanya, sebanyak 40,000 ekor lembu termasuk kambing diimport dari negara tersebut bagi menampung bekalan daging di negara ini.

“Kita import sejak tiga bulan awal supaya menjelangnya sambutan Aidiladha nanti, orang ramai tidak lagi mempunyai masalah mendapatkan bekalan daging.

“Selain itu, haiwan ternakan di negara ini juga mencukupi bagi menampung keperluan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Bandar Arau Dairy House di Kampung Alor Merah, Jalan Kolam Air, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Veterinar negeri, Dr. Zulkifli Ahmad dan pemilik Bandar Arau Dairy House, Husmizar Husin yang menternak lebih 100 ekor kambing di kawasan itu.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan projek penternakan kambing yang dilaksanakan oleh Husmizar iaitu salah seorang penternak di bawah pengawasan Jabatan Veterinar negeri ini.

Sementara itu, Husmizar berkata, dia terlibat di dalam bidang penternakan ini sudah lama dan mula bergerak aktif memelihara kambing ini sejak lima tahun lalu.

Katanya, setakat ini, dia menternak lebih 100 ekor kambing dan mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai khususnya ketika menjelang sambutan Aidiladha.

“Selain itu, susu kambing yang dijual juga mendapat sambutan baik bukan sahaja daripada penduduk negeri ini, sebaliknya sudah menembusi negeri-negeri Utara khususnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE