Di Malaysia pula, tarikh itu pastinya diingati perokok apabila kedai kopi atau restoran India Muslim yang menjadi lokasi popular melepak kini menjadi zon bebas asap rokok termasuk di meja luar, langkah yang telah dibuat Singapura 11 tahun lalu.

Sebelum Singapura, negara pertama yang menguatkuasakan peraturan seperti itu adalah Ireland iaitu pada 2004 dan langkah berkenaan kemudian menjadi ikutan banyak negara di seluruh dunia dengan terbaru Malaysia.

Cuma di Singapura misalnya, dalam melaksanakan zon bebas asap rokok di Orchard Road sejak Selasa lalu, masih ada 40 kawasan khas merokok diwartakan. Selepas menjamu selera, carilah lokasi khas merokok dan bukan perlu bergerak tiga meter dari hujung jalan berkenaan.

Malah di wilayah Australia Selatan, pihak restoran juga dibenarkan menyediakan zon merokok di kawasan terbuka dengan syarat tertentu. Walaupun ketat, tetapi ada ruang diberikan bagi penyediaan kawasan berkenaan dan ini berbeza dengan nasib perokok di Malaysia.

Apa pun langkah kerajaan, perokok harus patuhinya selagi tiada pindaan kepada peraturan tersebut. Pastinya langkah ini untuk kebaikan semua termasuk perokok sendiri, setidak-tidaknya mengurangkan mereka kepada tabiat tersebut.

Untuk generasi akan datang, ini langkah awal yang terbukti mengurangkan bilangan perokok. Di Britain, peraturan ketat mengurangkan perokok daripada 45 peratus rakyatnya merokok pada 1970-an kepada 17 peratus sahaja pada 2015. Makin ketat peraturan termasuk semakin tinggi cukai, makin berkurang perokok untuk jangka panjang.

Gerakan antirokok dikatakan bermula di Jerman pada 1930-an apabila bukti perubatan ditemukan kaitan masalah kesihatan dan merokok. Sejak itu, Barat yang bertanggungjawab memperkenalkan tembakau kepada negara jajahannya sudah mula berkurangan perokok di negara mereka.

Perokok kini tertumpu di rantau yang masih membangun seperti Afrika dan Asia dengan negara seperti Indonesia dan China mempunyai peratusan perokok yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.

Bab merokok terbukti membahayakan kesihatan sudah jelas. Cumanya, tidak ada satu pun negara yang melarang sepenuhnya penjualan rokok. Ada kaitkannya dengan sumber cukai negara. Syarikat rokok Barat pula menumpukan pelaburan dalam produk tembakau bebas asap.

Setakat ini, paling hampir ke arah bebas tembakau dengan larangan menjual rokok mungkin Bhutan, sebuah negara di pergunungan Himalaya. Negara lain masih dalam perancangan dengan New Zealand berharap mencapai status negara bebas tembakau pada 2025 dan Finland pula pada 2030.

Beberapa negara maju yang terkenal dengan undang-undang ketat berhubung merokok seperti Singapura sudah ada inisiatif ke arah itu tetapi masih belum ada jangka waktu tertentu ditetapkan. Malaysia bila pula?- UTUSAN ONLINE