Kerjasama ini yang julung-julung kali dilaksanakan memberi peluang kepada Bayou Lagoon untuk menyumbang dan menyokong kemeriahan sambutan pesta buku itu yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Penolong Pengurus Jualan dan Projek Khas Jabatan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Tajul Ariffin Arsad berkata, menerusi kerjasama ini, Bayou Lagoon menyediakan beberapa hadiah khas bernilai kira-kira RM8,000 kepada pembeli bertuah yang membeli produk-produk keluaran Kumpulan Utusan sepanjang pameran itu.

“Pengunjung yang membeli produk-produk keluaran Kumpulan Utusan seperti buku, majalah atau langganan majalah akan berpeluang memenangi cabutan bertuah seperti penginapan selama dua hari satu malam di unit studio Bayou Lagoon untuk dua orang berserta sarapan dan tiket masuk ke taman tema air.

“Bayou Lagoon menyediakan sebanyak 15 keping baucar penginapan percuma ini dan 20 keping baucar masuk ke taman tema air dewasa sepanjang pesta buku itu berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis penyerahan replika hadiah baucar tersebut diadakan di Bayou Lagoon di sini yang turut dihadiri Pengarah Urusan Bayou Lagoon Park Resort Sdn. Bhd., Datuk Marco Seow Chee Han, Ketua Biro Utusan Malaysia cawangan Melaka, Suffian Abu Bakar dan Eksekutif Jualan Kumpulan Utusan cawangan Melaka, Siti Hajar Halim.

Sempena sambutan pesta buku itu, Kumpulan Utusan me­rupakan antara 229 pempamer yang mengambil bahagian yang menyediakan pelbagai aktiviti jualan produk terbitan syarikat selain beberapa program terma­suk cabutan bertuah.

Sementara itu Chee Han berkata, kerjasama tersebut merupakan tanda sokongan pihaknya terhadap Kumpulan Utusan yang turut menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

“Ini merupakan kali pertama Bayou Lagoon menjalin kerjasama dengan Kumpulan Utusan dan diharapkan ia dapat terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

“Pihak syarikat juga akan te­rus memberi sokongan kepada Kumpulan Utusan dalam apa jua program pada masa akan datang demi manfaat bersama,” kata­nya.