MOHD. AMAR NIK ABDULLAH
MOHD. AMAR NIK ABDULLAH

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, jika Guan Eng tidak mahu kerajaan Pas Kelantan ‘meminta-minta’ dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan, pembayaran royalti tersebut sepatutnya disegerakan.

Katanya, royalti merupakan salah satu hasil terbesar negeri dan banyak masalah berkaitan kewangan dapat diselesaikan sekiranya perkara itu tidak dilengahkan dan dibayar mengikut perjanjian asal.

“Dan yang dia bagi RM550 juta ini sebenarnya pemberian yang berupa pinjaman. Dia kata pemberian, tapi sebenarnya ia pinjaman yang dipotong mengikut peruntukan tahunan kita. Bukan bagi percuma. Defisit itu geran itu peruntukan yang ada dalam perlembagaan.

“Mana-mana negeri yang kekurangan wang pengurusan, kerajaan pusat mesti bagi. Itu peruntukan dalam perlembagaan. Kalau negeri itu ada masalah maka akan dapat geran defisit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Guan Eng baru-baru ini dilaporkan berkata, Kerajaan Pas Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kelantan perlu mengamalkan perbelanjaan yang berhemah serta tidak berbelanja melebihi pendapatan, selain perlu berusaha meningkatkan hasil bagi mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan.

Mohd. Amar dalam pada itu berkata, Guan Eng seolah-olah mempunyai agenda tersirat apabila sengaja memperbesarkan mengenai sumbangan yang diterima negeri ini daripada Pusat.

Tambah beliau, bukan sesuatu yang pelik jika kelantan menerima bantuan daripada Pusat kerana tiada negeri boleh bersendirian termasuklah Selangor yang berhutang sehingga RM600 juta dan Pulau Pinang serta Johor yang melibatkan jumlah berbilion ringgit. - UTUSAN ONLINE